top of page

Perkara-Perkara Penting yang Anda Perlu Tahu Tentang Anak yang Lewat Bercakap

Updated: 1 Jan 2022



Fenomena melihat 'kanak-kanak tidak bercakap' pada masa kini menjadi perkara biasa berbanding sebelum ini. Kemajuan teknologi merupakan salah satu penyebab fenomena tersebut berlaku kerana teknologi kini mengurangkan interaksi nyata antara manusia.


Kebanyakan ibu bapa menjadi gelabah apabila anak tidak boleh bercakap, membuat ayat atau berinteraksi dan berbual seperti kanak-kanak sebaya dengan mereka terutama apabila tiba masanya untuk mereka memasuki tadika atau sekolah rendah.


Sesetengah daripada mereka percaya stigma bahawa kanak-kanak boleh bercakap serta merta sama seperti rakan sebaya apabila mereka meningkat usia. Bagaimana anda pasti tentang itu? Ya, semua kanak-kanak akan melalui proses perkembangan bahasa dan pertuturan yang sama tetapi sukar untuk anda ketahui sama ada anak anda akan sampai ke setiap peringkat perkembangan. Dalam hal ini, lebih baik untuk anda mengambil tindakan daripada menunggu jika anda lihat anak anda tidak mempunyai perkembangan.



Isi Kandungan

  1. Apa yang Menyebabkan Anak Lewat Bercakap?

  2. Bagaimana untuk Memantau Perkembangan Bahasa dan Pertuturan Anak Saya?

  3. Bilakah Ibu Bapa perlu Bimbang?

  4. Apa yang Berlaku Dalam Sesi Terapi Pertuturan-Bahasa?

  5. Siapakah 'Terapis Pertuturan-Bahasa'?



Tidak semua kanak-kanak yang lewat bertutur atau bercakap mempunyai sebab dan isu yang sama. Sesetengah kanak-kanak sangat aktif dan ada yang lebih pasif. Terdapat juga kanak-kanak yang boleh menyebut beberapa perkataan dan tiba-tiba perkataan-perkataan tersebut hilang.


Kelewatan bercakap mempunyai empat faktor penyumbang:

  1. Struktur cth. masalah pendengaran, sumbing dan otot yang lemah.

  2. Kelainan biologi atau genetik dan masalah perkembangan cth. sindrom Down dan gangguan spektrum Autisme.

  3. Neurologi cth. palsi serebrum (CP), epilepsi dan strok

  4. Persekitaran cth. kurangnya peluang dan interaksi di rumah, interaksi ibu bapa yang tidak efektif atau anak terlalu banyak masa dengan skrin cth. TV, tab, iPad dan sebagainya.



Carta perkembangan bahasa dan pertuturan merupakan alat penting untuk memantau perkembangan anak anda. Anda boleh menggunakan carta tersebut untuk memantau kemahiran semasa anak anda pada setiap peringkat umur. Ya, setiap kanak-kanak berbeza tetapi perbezaannya tidak jauh bezanya (iaitu jurang kemahiran bahasa dan pertuturan anak anda mestilah berada dalam lingkungan 6 bulan atau kurang berbanding rakan sebaya). Berikut merupakan carta perkembangan bahasa dan pertuturan normal yang boleh anda rujuk:


Carta Perkembangan Bahasa dan Pertuturan Kanak-Kanak


Lahir

  • Menangis

2-3 bulan

  • Berbunyi ‘coos’ sebagai tindak balas kepada anda

  • Senyum

6 bulan

  • Membebel ‘babbles’

  • Berpaling dan melihat ke arah bunyi

8 bulan

  • Memberi respon atau tindak balas apabila nama dipanggil

  • Teruja melihat diri sendiri di depan cermin

10 bulan

  • Menjerit untuk mendapatkan perhatian

  • Menyebut 1 suku kata berulang kali cth. /da da da da/

12 bulan

  • Menyebut 1-2 perkataan

  • Dapat mengenalpasti nama

  • Meniru bunyi yang biasa

  • Menunjuk ke arah objek

12-17 bulan

  • Faham arahan mudah

  • Meniru perkataan yang biasa

  • Faham “jangan,”

  • Menyebut perkataan “mama” “papa” dan beberapa perkataan lain

18 bulan

  • Menggunakan 10-20 perkataan termasuk nama

  • Mula menggabungkan 2 perkataan cth. "dah hilang", "bye-bye mama"

  • Menggunakan perkataan untuk memberitahu kehendak seperti "naik", "dah habis" atau "nak lagi”;

  • Tahu anggota badan

2 tahun

  • Menyebut 2-3 perkataan dalam ayat cth. "nak susu", "abang main bola"

  • Tahu lebih 50 perkataan

  • Bertanya "apa ini?" dan "mana saya punya?”

  • Perbendaharaan kata semakin berkembang

  • Mengenalpasti bahagian-bahagian tubuh badan

  • Menamakan gambar dalam buku

2 ½ tahun

  • Menyatakan nama

  • Menggunakan panggilan "saya" untuk merujuk pada diri sendiri

  • Menggabungkan kata nama dan kata kerja cth. "adik tidur", "makan nasi"

  • Mempunyai 450 kosa kata

  • Menggunakan ayat pendek

  • Memadankan 3-4 warna

  • Boleh membezakan besar dan kecil

  • Suka mendengar cerita yang sama

3 tahun

  • Boleh bercerita

  • Buat ayat 3-4 perkataan cth. "adik nak bola", "hadiah ini untuk mama"

  • Perbendaharaan kata kira-kira 1000 perkataan

  • Tahu nama penuh, nama jalan dan beberapa buah lagu kanak-kanak

  • Boleh menyanyikan lagu

4 tahun

  • Buat ayat 4-5 perkataan cth. "kereta papa besar dan cantik"

  • Menggunakan perkataan yang merujuk kepada perkara lepas cth. "semalam"

  • Mengenalpasti warna dan bentuk

  • Bertanya banyak soalan seperti "kenapa?" dan "siapa?"

  • Boleh bercakap mengenai sesuatu yang abstrak atau yang berlaku pada masa depan cth. "saya harap ..."

  • Menggunakan bunyi berikut dengan betul: b, d, f, g, h, m, n, ng, t, w, y (dalam ya)



Kebanyakan kanak-kanak yang belum dapat bercakap atau menghasilkan perkataan bermakna mempunyai perbendaharaan kata yang terhad (contohnya, mereka tidak boleh mengikuti arahan yang diberikan pada peringkat umurnya.


Misalnya 2 tahun bersamaan dengan arahan 2 langkah. Sebagai contoh, "naik atas dan ambil baju abang". Arahan yang diberikan haruslah secara lisan sahaja tanpa bantuan. Ibu atau bapa tidak menunjuk ke arah objek semasa memberi arahan dan kanak-kanak tersebut tidak hanya boleh ikut arahan yang terhad kepada rutin atau situasi tertentu.


Jika anak anda tidak mengikut julat perkembangan bahasa dan pertuturan yang normal, anda sepatutnya mempunyai alasan yang kukuh untuk risau dan mula mencari dan mendapatkan bantuan. Pada umur 18 bulan, kanak-kanak sepatutnya menghasilkan sekurang-kurangnya 20 perkataan yang bermakna seperti /ibu/, /papa/, /susu/, /bola/ dan lain-lain. Pada usia 24 bulan, jika kanak-kanak mempunyai kurang daripada 100 perkataan dan tidak dapat menggabungkan perkataan dan membuat ayat 2 atau 3-perkataan seperti /nak lagi/ dan /Ali main bola/, dia mungkin memerlukan terapi pertuturan-bahasa.



Apa yang Berlaku Dalam Sesi Terapi Pertuturan-Bahasa?

Pada permulaan sesi terapi, Terapis Pertuturan-Bahasa akan menilai anak anda untuk menentukan tahap bahasa mereka. Penilaian termasuk kemahiran pra-pertuturan seperti hubungan mata, tumpuan, kemahiran bermain, kemahiran meniru, kemahiran memadankan sesuatu dan mengambil gilir; kemahiran bahasa reseptif (pemahaman); kemahiran bahasa ekspresif (pengeluaran) dan pemeriksaan alat artikulasi (cth. mulut, gigi dan lidah) serta fungsinya.


Mereka juga akan menerangkan keputusan dari penilaian yang dibuat dan memberi cadangan tentang apa yang boleh anda lakukan untuk membantu anak anda di rumah. Sesi susulan akan menumpukan pada set kemahiran yang perlu diperbaiki agar kanak-kanak dapat mengejar tahap bahasa yang sepatutnya.


Apa yang biasanya berlaku dalam sesi ini adalah kanak-kanak yang disyaki mempunyai kelewatan bercakap akan mempunyai tahap bahasa yang lebih rendah daripada usia mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 4 tahun secara kronologi mungkin mempunyai kemahiran bahasa yang kira-kira seperti kanak-kanak berusia 2;0 hingga 2;6 tahun.



Siapakah 'Terapis Pertuturan-Bahasa'?

'Speech-Language Therapist' (SLT) atau Terapis Pertuturan-Bahasa yang juga dikenali sebagai Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) adalah ahli kesihatan bersekutu atau pakar komunikasi. SLT bekerja dengan semua peringkat umur, dari bayi hingga dewasa. SLT merawat pelbagai jenis masalah komunikasi, makan dan menelan termasuk kes-kes biasa seperti kelewatan bercakap atau pelat.


Bagi seseorang yang berkelayakan sebagai SLT, mereka harus mempunyai latar belakang akademik atau sekurang-kurangnya mempunyai Sarjana Muda yang berkaitan dengan bidang sains pertuturan, patologi pertuturan atau sains yang mempunyai pengkhususan gangguan dalam komunikasi. Ijazah yang diambil ini termasuk latihan pendidikan klinikal yang intensif dan praktikal bersama pesakit semasa tahun klinikal.



"Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai kemahiran bahasa dan pertuturan anak anda, bertindak segera dan bukannya menunggu."

Back to top

bottom of page