top of page

Terapi Pemulihan Carakerja - Apa, Kenapa, Bila, Mana dan Bagaimana?

Apa?


Kerap kali kita mendengar terma "OT" atau Occupational Therapy disebut oleh kalangan Pakar Kesihatan atau orang ramai tetapi apa sebenarnya "OT" dan apa yang boleh Terapi Pemulihan Carakerja lakukan untuk membantu kanak-kanak?


OT atau Terapi Pemulihan Carakerja boleh membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah melakukan aktiviti harian yang menyukarkan proses kehidupan mereka.


Terapi ini merangkumi pelbagai senaman dan akitiviti yang dilakar dan direka untuk memperbaiki masalah sensori, kemahiran motor, kesedaran tubuh, masalah keseimbangan dan koordinasi yang boleh menjadi halangan untuk kanak-kanak membesar dengan potensi yang sepenuhnya.




Kenapa?


Terapi Pemulihan Carakerja penting untuk menolong dan memperbaiki proses pembelajaran dan tumbesaran mereka. Seorang kanak yang mempunyai kemusykilan dalam menulis memerlukan intervensi seorang OT untuk mengenal pasti puncanya dan OT akan membuat terapi untuk menangani masalah ini.


Selain itu, apabila seorang kanak mempunyai masalah mengawal emosi, intervensi OT penting untuk mengajar kanak cara-cara mengawal perasaan untuk pelbagai keadaan. Intervensi juga penting untuk masalah pemprosesan sensori dan masalah perkembangan yang lain.



Bila?


Semakin awal kanak-kanak bermula terapi, semakin baik dan cepat perkembangan kanak-kanak ke hala yang positif dan efektif. Dari kecil lagi, kanak-kanak belajar melalui sistem sensori yang seadanya.


Oleh itu, keupayaan untuk membuat tugasan mudah dari kecil dapat membina keyakinan dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang dilengkapi sistem sensori yang stabil akan memantapkan lagi proses pembesaran dan perkembangan diri.



Mana?


Ibu bapa boleh berjumpa dengan Terapis Pemulihan Carakerja di kebanyakkan hospital, organisasi kerajaan dan pusat terapi swasta di Malaysia.


Penglibatan kanak-kanak dalam terapi dari usia yang muda serta di lokasi yang sesuai juga memainkan peranan yang penting dalam proses ini. Ibu bapa mesti melibatkan diri dan memastikan terapi yang diterima anak-anak kondusif, selamat dan mempunyai kemajuan yang setimpal.



Bagaimana?


Terapi Pemulihan Carakerja membatu kanak-kanak mengatasi pelbagai masalah dalam proses pembesaran dan pembelajaran mereka seperti:



1. Pemprosesan Sensori ialah penerimaan informasi dari sistem saraf dan penukaran maklumat kepada respons. Apabila seorang kanak mempunyai masalah pemprosesan sensori; otaknya tidak dapat mengatur maklumat kepada respons yang teratur dan seterusnya menyebabkan kanak menjadi terlalu sensitif atau kurang responsif kepada keadaan sekelilingnya.


Mereka juga mungkin menpunyai masalah mengawal emosi yang boleh menjurus kepada masalah sosial nanti. Terapis Pemulihan Carakerja akan mengenal pasti sistem sensori tertentu yang bermasalah dan membuat intervensi yang sesuai untuk menstabilkan sistem sensori kerana sistem sensori yang mantap merupakan asak kepada pembelajaran akademik.



2. Kemahiran Motor Kasar ialah kekuatan dan pergerakan yang membantu kita bergerak dan menempatkan tangan, kaki dan tubuh badan lain yang melibatkan otot besar kita. (tekan sini untuk mengetahui lebih banyak motor kasar)


Apabila kanak kekurangan kemahiran ini, mereka akan susah menyelaraskan kedua-dua belah badan, tidak boleh memahami konsep kiri dan kanan dan mempunyai keseimbangan badan yang lemah.


Tona otot juga mungkin menjadi rendah yang menjejaskan sistem sensori untuk membentuk dengan baik. Pakar Terapis Pemulihan Carakerja akan membuat penilaian dan intervensi dengan pelbagai senaman dan aktiviti untuk menguatkan otot kanak-kanak yang terlibat secara menyeluruh.



3. Pemprosesan Visual ialah kebolehan kanak-kanak mengenal pasti apa yang dilihat dengan mata sendiri. Ia adalah proses di mana otak mentafsir segala visual atau maklumat yang dilihat.


Tanpa kemahiran ini, kanak-kanak tidak boleh mengenal abjad atau mencari objek yang terselindung dengan objek lain. Selain itu, kanak-kanak juga sukar menyalin corak mudah atau apa-apa dari papan ke kertas sendiri.


Kanak-kanak akan berasa tergugat dan dalam kesusahan di sekolah kerana tidak dapat mengikut rentak guru dalam proses pembelajaran. Pakar Terapis Pemulihan Carakerja akan mengenal pasti punca masalah dan membantu kanak-kanak dengan aktiviti visual untuk mengatasi masalah ini.



4. Kemahiran Motor Halus ialah pergerakan jari tangan, bibir, lidah dan jari kaki dalam kehidupan. Tanpa kemahiran ini, kanak-kanak tidak boleh memegang pensel dengan betul dan pastinya tidak boleh menulis atau mewarna dalam garisan. Di samping itu, kanak-kanak tidak dapat menggunakan gunting, membuka zip dan butang baju serta mengikat tali kasut tanpa kemahiran ini.


Pakar akan membuat penilaian dan memberi akitivit motor halus secara intensif kepada kanak untuk menguatkan otot-otot kecil supaya dapat mengatasi masalah ini.



5. Interaksi Sosial ialah keupayaan untuk membina hubungan dan memahami perasaan orang lain di sekeliling. Kanak-kanak dengan masalah sosial tidak dapat berinteraksi dan bermain dengan ahli keluarga serta kawan-kawan sebaya.


Kebayakkannya, mereka tidak dapat menyesuaikan diri di tempat yang baru dan mempunyai masalah pertuturan . Pakar OT kerap berkerjasam dengan Terapis pertuturan-bahasa akan menganjurkan aktiviti berkumpulan untuk memberi peluang kanak-kanak berinteraksi antara satu sama lain.


Sehubungan itu, terapis akan menyelitkan tugasan yang memerlukan kanak-kanak berkomunikasi secara langsung dan tidak langsung untuk memupuk budaya sosial dalam diri mereka.



6. Kelewatan Perkembangan dan Masalah Pembelajaran merujuk kepada kanak-kanak yang kurang pencapaian dalam pelbagai aspek seperti sosial, akademik, motor, pertuturan dan aktiviti harian berbanding dengan rakan sebaya.


Mereka mungkin mempunyai masalah kurang fokus dalam pembelajaran, tidak dapat mengikut arahan dan menyiapkan tugasan yang diberi. Kanak-kanak tidak dapat mengawal diri dan menjadi hiperaktif atau kurang tenaga.


Terapis Pemulihan Carakerja akan mengenal pasti masalah yang dihadapi dan bekerjasama dengan ibu bapa serta guru di sekolah untuk membantu kanak-kanak membaik pulih keadaan di sekolah dari segi akademik, sosial, mental dan sebagainya.



7. Aktiviti Kehidupan Seharian ialah aktiviti yang dilakukan setiap hari seperti pemakaian, pemakanan, kebersihan diri dan pergerakan badan. Biasanya, kanak-kanak dapat menguasai kemahiran ini dari kecil lagi.


Sesetengah kanak mungkin susah mengikut dan mengingati langkah-langkah dalam akitivi kehidupan harian mereka. Ada yang langsung tidak mengendah kepentingan kemahiran ini.


Oleh itu, Terapis Pemulihan Carakerja akan membuat intervensi mencorak langkah yang menarik dan sesuai untuk mengajar kanak-kanak menguasai akitiviti kehidupan seharian mereka kerana ini ialah kemahiran hidup yang kekal hingga ke akhir hayat nanti.



Terapi Pemulihan Carakerja membuat penilaian, membuat pelan rawatan dan memberi intervensi yang sesuai untuk setiap kekurangan atau masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak demi menolong dan mendorong mereka ke arah hidup yang lebih berkualiti dan bermakna.

Back to top

bottom of page